“JANGAN mudah berasa bangga, kita masih ada 90 minit permainan untuk diharungi,” tegas Ong Kim Swee memberi peringatan kepada anak buahnya supaya tidak terlalu dibuai dengan kejayaan mengikat Lubnan, 0-0 pada aksi pertama pusingan kedua kelayakan Olimpik London 2012 di Beirut, kelmarin.
Menurut jurulatih skuad Olimpik negara itu, beliau menuntut pemain memberi tumpuan kepada perlawanan timbal balik di Stadium Nasional Bukit Jalil, Khamis ini yang bakal menjadi penentu hidup mati saingan Malaysia dalam merebut slot ke London.
“Kita masih ada satu lagi perlawanan menentang Lubnan di Kuala Lumpur dan semua pemain harus kekal fokus.
“Memang pasukan negara banyak mencipta peluang dan hampir menang tapi sekurang-kurangnya misi kita tercapai kerana tidak dibolosi,” katanya.
Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Camille Chamoun Sports City, Beirut, Malaysia hampir mencipta kejutan namun peluang milik penyerang Izzaq Faris Ramlan dan Wan Zack Haikal Wan Nor terlepas begitu saja.
Malah penyerang gantian, Syahrul Azwari Ibrahim turut berpeluang mencipta nama di penghujung perlawanan tapi gagal memanfaatkan situasi satu lawan satu dengan penjaga gol Lubnan, Mohamad Dakramanji.
Bagaimanapun Kim Swee tetap memuji pasukannya yang diketuai Khairul Fahmi Che Mat atas kesungguhan mengekang serangan Lubnan.
“Kami menyukarkan Lubnan bermain, pemain tengah berjaya menghalang mereka menyusun permainan. Strategi kita menjadi dan saya harap aksi lebih baik dipamerkan apabila bermain di depan penyokong sendiri,” katanya yang akan tiba di tanah air bersama skuad Olimpik awal pagi ini.
Jika mampu menewaskan Lubnan pada pusingan kedua, mereka akan layak ke peringkat kumpulan bagi merebut slot ke Sukan Olimpik London 2012.
No comments:
Post a Comment