Tuesday, February 18, 2014

Pen. Pegawai Daerah Banyak Beribadat Sebelum Meninggal

Wan Hariff Rafany Wan Muda

BESUT – Wan Hariff Rafany Wan Muda, Penolong Kanan Pentadbir Tanah Kuala Terengganu yang mayatnya ditemui terapung di Sungai Tajin, Kuala Berang di Hulu Terengganu semalam dikatakan banyak beribadat sejak kebelakangan ini.
Isterinya Norull Shazrina Shafie, 33, berkata suaminya yang beliau panggil  ‘Abi’ didapati sering bersembahyang hajat, mengaji al-Quran dan berzikir.
“Saya tidak mengesyaki apa-apa tetapi menganggapkan perbuatannya itu sebagai perubahan yang positif demi kebaikannya dan untuk kita sekeluarga,” katanya di rumah bapa mentuanya di Kampung Limbongan dekat sini hari ini.
Menurutnya, sebelum kejadian suaminya tidak meninggalkan sebarang pesanan dan hanya berbual perkara biasa dengan beliau dan dua anak mereka yang berumur empat dan enam tahun.
Wan Hariff Rafany, 35, dilaporkan hilang pada Sabtu lepas sebelum mayatnya di temui di sungai itu.
Norull Shazrina, guru di sebuah sekolah menengah di Marang berharap orang ramai tidak mempunyai tanggapan negatif terhadap kematian suaminya dan menyerah kepada polis untuk menjalankan siasatan.
Mayat Allahyarham dibawa balik dari Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu ke rumah bapanya pada pukul 8 malam tadi dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Raja di sini selepas sembahyang Isyak.
Turut hadir Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Jerteh, Muhammad Pehimi Yusoff, Adun Kota Putera, Mohd Mahdi Musa, Adun Kuala Besut Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman, Pegawai Daerah Besut A Rahim Jusoh dan ketua-ketua jabatan. – BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Configuration After installing, you might want to change these default settings: