Monday, August 24, 2015

Rashidi Ishak tak bayar gaji pekerja?

KETUA Pegawai Eksekutif (CEO) stesen radio Peace Yall FM, Rashidi Ishak.

KUALA LUMPUR: Sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) stesen radio Peace Yall FM, Rashidi Ishak terpanggil untuk menjelaskan perkara berbangkit mengenai gosip di ruangan pojok sebuah akhbar mingguan bahawa stesen radio itu yang dilancarkan Mei lalu tidak membayar gaji pekerja sehingga beberapa pekerja terpaksa berhenti. Perkara berkenaan turut berada di dalam bidang kuasanya yang mengawal keseluruhan operasi saluran radio internet baharu cetusan idea Datuk AC Mizal itu, selain skop kerja lain berkait strategi, pemasaran dan melaksanakan idea majikan. 


Dihubungi BH Online sebentar tadi, suami kepada Vanidah Imran itu mahu menerangkan situasi sebenar sekali gus mengesahkan bahawa tidak wujud langsung permasalahan seperti yang ditimbulkan. Malah Rashidi turut mengambil berat soal kebajikan dan kontrak pekerja. "Selama stesen radio ini bekerja (beroperasi) dan saya berkhidmat, isu tak bayar gaji pekerja tak pernah ada. Seramai 38 orang pekerja di bawah bumbung Peace Yall FM termasuk mereka yang bekerja sambilan akan dibayar penuh setiap bulan dengan faedah tersendiri. 

Hakikatnya tak (ada) isu seperti yang diperkatakan. Bahkan ada pekerja yang mendapat gaji lebih daripada gaji mereka di tempat kerja lama. "Jadi saya sendiri pelik apabila cerita itu disampaikan tetapi siapa yang membawa cerita itu kekal misteri. Kami di Peace Yall FM agak terkilan tambah pula ia membabitkan nama Datuk AC. Ia sedikit sebanyak akan menjejaskan reputasi beliau termasuk prospek perniagaan pastinya akan terkesan apabila timbul cerita sebegitu. Rakan kongsi perniagaan juga turut bertanya apa sebenarnya yang terjadi. 

"Menurut artikel itu, ada pekerja yang berhenti kerja dan tak dibayar gaji. Mana ada. Cerita itu sangat tak munasabah. Rata-rata pekerja sangat gembira bekerja dan tak ada masalah langsung seperti ditulis. Pengurusan syarikat turut mempraktikkan setiap pekerja dibayar elaun kerja lebih waktu. Malah ketika nak sambut raya, pekerja siap diberi bonus lagi," katanya. 
Datuk AC yang baharu memenangi anugerah di Anugerah Lawak Warna 2015 di dalam kenyataannya kepada sebuah portal turut menafikan perkara berkenaan. Peace Yall FM turut dalam rangka rancangan untuk meluaskan lagi empayar stesen radio itu ke Indonesia serta menambah bilangan pekerja selain menambah masa operasi siaran radio berkenaan kepada 24 jam. Antara deejay Peace Yall FM dibarisi pelakon dan pelawak popular seperti Adlin Aman Ramlie, Emelda Rosmila, Syuk (Balas), Acong, Fad (Bocey) dan Bochil daripada kumpulan Saywho.

No comments:

Post a Comment

Configuration After installing, you might want to change these default settings: